05 April 2013

Kada minta petani mematuhi jadual tanaman padi

PASIR PUTEH: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) meminta petani mematuhi jadual tanaman padi yang telah ditetapkan untuk mengelak daripada mengalami kerugian akibat sawah kekeringan air.



Pengurus Besar Kada Ibrahim Mat berkata ini kerana jadual tanaman padi dikeluarkan dirangka dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keperluan untuk kerja penyelenggaraan pam air.

Kada akan menghentikan pengairan ke sawah padi mengikut kawasan seperti yang ditetapkan dan pesawah yang bertanam pada lewat musim mungkin menghadapi masalah sawah kekeringan air, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau mengulas rungutan lebih 80 petani di bendang Cherang Rotan, Pasir Puteh yang mendakwa tanaman padi mereka hampir musnah apabila terputus bekalan air akibat musim kemarau.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan Cherang Rotan (LPPKCR), Tengku Hussin Tengku Abdul Rahman berkata 80 hingga 100 hektar tanaman padi di beberapa kampung seperti Jelor, Bukit Abal, Kampung Nara dan Merkang sedang mengalami kekeringan air yang menyebabkan anak padi berusia antara satu dan dua bulan kemerah-merahan serta hampir layu.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata bekalan air untuk musim ini bagi kawasan pengairan Kemubu di jajahan Kota Baharu, Bachok dan Pasir Puteh telah ditamatkan pada 3 Feb lepas.

“Manakala bagi kawasan pengairan Lemal dan Pasir Mas bagi jajahan Pasir Mas dan Tumpat telah tamat pada 6 Mac lalu,” katanya.

Ibrahim berkata pihaknya menyedari masih terdapat sebahagian kecil kawasan sawah padi yang masih memerlukan air disebabkan mereka menanam lewat dan tidak mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Malah ada antara petani menabur benih pada awal Februari iaitu hampir dengan tarikh tamat tempoh bekalan air,” katanya.

Katanya, dalam tempoh pemberhentian bekalan air itu, Kada akan melakukan penyelenggaraan pam serta infrastruktur lain sebagai persediaan untuk musim akan datang.

Rancangan Pengairan Kemubu akan disalur bermula 1 Jun ini dan bekalan air untuk Rancangan Pengairan Lemal dan Pasir Mas pula bermula 15 Mei ini, katanya menambah jadual musim baharu akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – BERNAMA

02 April 2013

Chelsea 1 Manchester United 0

LONDON: Juara bertahan, Chelsea semakin hampir untuk menjulang trofi Piala FA selepas menyingkirkan Manchester United 1-0 pada aksi ulangan suku akhir di Stamford Bridge malam tadi.

Penyerang Senegal, Demba Ba muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan skuad The Blues pada minit ke-49, sekali gus melayakkan diri ke separuh akhir buat kali keenam dalam tempoh lapan musim.



Skuad bimbingan Rafael Benitez itu dijadual bertemu Manchester City pada pusingan separuh akhir di Stadium Wembley 14 April depan.

Satu lagi aksi separuh akhir bakal menemukan Millwall dan Wigan Athletic yang berlangsung di stadium sama sehari sebelum itu.

Meskipun tidak disenangi segelintir penyokong-penyokong tegar Chelsea, Benitez masih berpeluang untuk menghadiahkan dua piala kepada skuad The Blues musim ini.

Selain layak ke separuh akhir Piala FA, Chelsea turut mara ke suku akhir pada kempen Piala Europa dan mereka akan bertemu kelab Rusia, Rubin Kazan awal pagi Jumaat ini.

“Ia adalah satu kemenangan yang sangat bermakna buat kami. Kami suka beraksi di Stadium Wembley dan kami sangat mengagumi Piala FA. Kami sentiasa mahu memenangi trofi ini.

“Saya sangat berpuas hati selepas berjaya menepis percubaan Javier Hernandez dan bola itu sangat berbahaya. Bagaimanapun, saya berjaya menggunakan tangan kiri untuk menepis bola itu,” kata penjaga gol Chelsea, Petr Cech.

Sementara itu, Ba berkata, dia sangat gembira apabila menjaringkan gol itu dan jaringan tersebut sama seperti yang dilakukannya ketika bersama Newcastle United sebelum ini.

“Jaringan saya hari ini (semalam) sama seperti yang saya lakukan ketika saya mewakili Newcastle (menentang United). Ia telah mengingatkan saya kembali kepada detik itu.

Bagaimanapun, apa yang paling penting adalah kami mencatat kemenangan dan memberikan kami lebih keyakinan,” kata Ba. – Agensi

TMJ memang ada

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan tindakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berada di bangku simpanan pada perlawanan Johor Darul Takzim (DT) menentang Terengganu Sabtu lalu adalah melanggar peraturan memandangkan beliau masih menjalani penggantungan enam bulan daripada terbabit daripada sebarang aktiviti bola sepak.



Bagaimanapun Penolong Setiausaha Agung FAM yang juga bertindak sebagai Komisioner Perlawanan itu Datuk Ahmad Fuad Daud berkata, pihaknya sudah menyerahkan perkara itu kepada pegawai undang-undang bagi menyiasat status Tunku Ismail ketika berada di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin ketika perlawanan itu.

“Saya mengesahkan Tunku Ismail memang berada di bangku simpanan pada perlawanan itu,” katanya.

“Berdasarkan peraturan, Tunku Ismail yang menjalani hukuman penggantungan sepatutnya tidak boleh terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak persatuan ini dan tindakan susulan akan diambil.

“Namun pihak kami perlu memastikan (status) kehadiran Tunku Ismail atas kapasiti Presiden PBNJ atau sebagai Tengku Mahkota Johor. Jika atas kapasiti sebagai Tengku Mahkota Johor, FAM akan menyerahkan perkara ini kepada pegawai undang-undang bagi menilai situasi sebenar.” Dalam laporan Arena Metro semalam, Tunku Ismail yang sebelum ini dihukum Jawatankuasa Tatatertib kerana melanggar Artikel 88 Statut FAM bulan lalu atas kesalahan mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) dilihat berada di bangku simpanan Johor DT ketika pasukan tuan rumah menewaskan Terengganu 3-2.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang diminta mengulas mengenai insiden itu kelmarin menyatakan perlu menunggu laporan penuh Komisioner Perlawanan sebelum membuat sebarang tindakan. - metro